Mari Membaca, Menghayati dan Muhasabah Diri Kita

Selamat Datang Ke Laman Blogspot Saye. Marilah Same2 Kite Berdakwah Tentang Agama Islam. Jika Ada Silap Dan Salah, Tegurlah Saya. Setiap Manusia Mesti Melakukan Kesilapan Walaupun Sedikit. Syukran Jazilan

Penghulu Segala Bicara

Penghulu Segala Bicara

Monday 25 November 2013

Agama: 6 Kaedah Mengimbangi antara Nikmat Dunia dan Kebahagiaan Akhirat

~Keseimbangan permusafiran dunia menuju destinasi akhirat~


Manusia tidak hanya hidup di atas dunia kerna kematian itu adalah pasti. Tambahan kehidupan akhirat juga adalah perjalanan yang kekal abadi. Namun, manusia itu sering alpa untuk berbekal walhal setiap daripada kita akan bermusafir menuju destinasi akhirat yang tiada pengakhirannya. Kita masih pada aras yang sama leka dengan nikmat dunia.
Dunia boleh jadi fitnah kepada insan atau tempat persinggahan untuk mendapatkan bekalan. Manusia yang menentukan arah pandu perjalanan kehidupan masing-masing. Adapun hakikatnya dunia itu tidak terpisah dengan akhirat. Cuma perlu wujud keseimbangan antara keduanya supaya manusia tidak sekadar berjaya di dunia bahkan lebih utama di akhirat sana.

Kaedah-kaedah
  1. Mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram serta menjauhi syubhat
Dari Abu ‘Abdillah An-Nu’man bin Basyir r.a Rasulullah s.a.w bersabda:
 “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan diantara keduanya ada perkara yang (syubhat) samar-samar, kebanyakan manusia tidak mengetahuinya, maka barangsiapa menjaga dirinya dari yang samar-samar itu, bererti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya, dan barangsiapa terjerumus dalam lingkungan samar-samar maka ia telah terjerumus ke dalam lingkungan yang haram.” [HR Bukhari no.52, Muslim 1599]
Hadis ini disebutkan sebahagian ulama’ merangkumi satu pertiga daripada Islam disebabkan menjelaskan kepada kita akan perkara yang dibenarkan untuk dilakukan (halal) dan sesuatu yang dilarang untuk dilaksanakan (haram) mengikut acuan syara’. Juga mengajar kepada manusia supaya mengambil sikap berhati-hati dengan meninggalkan perbuatan yang tidak jelas (syubhat).
Perkara yang halal dan haram yang jelas tidak dinafikan lagi akan kemestian seseorang bergelar muslim untuk melakukannya atau meninggalkannya. Adapun dalam islam sebenarnya perkara yang halal itu lebih banyak berbanding haram bahkan ditegah melakukan yang haram itu pun disebabkan memudharatkan kembali pada diri pelaku. Contohnya diharamkan zina, dihalalkan berkahwin. Diharamkan meminum arak dan dadah kerana merosakkan akal.
Bagi perkara yang diragui (syubhat) pula digalakkan untuk manusia menjauhinya seperti yang disebut dalam hadis kerana ia boleh membawa kita terjerumus dalam lembah dosa. Hal ini disebabkan hukum bagi perkara yang syubhat adalah tidak jelas dan ulama’ –ulama’ lebih tahu mengenainya melalui nas al-quran atapun qias. Contohnya adalah bermuamalat dengan harta atau bank yang diragui sistemnya tidak berasaskan riba maka lebih baik ia ditinggalkan.
Bahkan ulama’-ulama’ terdahulu lebih suka mengambil sikap wara’ (meninggalkan perkara syubhat) kerana sesungguhnya ia melambangkan ketinggian taqwa dan kecintaan manusia kepada Allah seperti yang disebutkan oleh Abu Darda’, Hasan Basri dan juga Al-Sauri.

2.  Kepentingan Ikhlas dalam penerimaan ibadah
Dari Amirul Mukminin Abu Hafsh, Umar bin Al-Khathab r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:
 “Segala amal itu tergantung niatnya, dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai niatnya. Maka barang siapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya. Barang siapa yang hijrahnya itu Karena kesenangan dunia atau karena seorang wanita yang akan dikawininya, maka hijrahnya itu kepada apa yang ditujunya”. [HR Bukhari no.1, Muslim no.1907]
Hadis ini disebutkan ulama’ sebagai separuh bagi agama disebabkan tidak dapat tidak sesuatu perbuatan itu perlu didahulukan dengan niat sama ada zahir pada lisan atau lintasan dalam hati manusia. Selain itu, niat mempunyai martabat yang tinggi dalam agama kerana dengan niat sesuatu perkara yang harus boleh diganjari pahala kerana niat. Contohnya adalah perbuatan makan yang asalnya harus boleh berubah kepada sesuatu yang diganjari jika diniatkan makanan itu adalah untuk mendapat tenaga seterusnya menyumbangkan keringat itu untuk kebaikan islam.
Tambahan lagi, niat juga merupakan antara elemen utama sesuatu amal itu diterima oleh Allah selain daripada menepati syara’. Niat yang benar membawa manusia melihat perkara yang dilakukannya bukan sahaja manfaat bagi dunia bahkan kebaikan di akhirat dengan menumbuhkan aqidah yang benar dek kerana dengan niat ia bahawa kita mempercayai Allah sahaja yang bisa memberi nikmat atau mudharat kepada kita bukan selainnya.
Amal yang didasarkan di atas niat yang baik dan ikhlas akan diterima Allah s.w.t dan diberikan ganjaran. Ikhlas ini boleh dibahagi kepada 3 bahagian yang berbeza setiapnya berdasarkan tingkatan keimanan seseorang.
i-                    Amal yang dikerjakan kerana takut kepada Allah. Amal ini dinamakan ibadah hamba.
ii-                  Amal yang dikerjakan kerana mengharapkan syurga dan pahala. Amal ini dinamakan ibadah saudagar.
iii-                Amal yang dikerjakan kerana malu kepada Allah. Juga dilaksanakan kerana hak kehambaan dan  membuktikan kesyukuran serta merasakan diri sebagai seorang yang masih di dalam kecuaian dan kebimbangan yang penuh ketakutan kerana tidak tahu adakah amalnya diterima atau tidak. Amal ini dinamakan ibadah orang yang merdeka.
Hakikat keikhlasan merupakan amal hati yang sukar namun tidak mustahil. Bisa sahaja permulaan amal kita ikhlas. Namun dipertengahannya kitaa tersungkur. Boleh jadi permulaan dan pertengahan amal kita baik tetapi pengakhirannya menyebabkan amalan kita tidak diterima. Walaubagaimanapun usaha untuk ikhlas itu dituntut dan selebihnya berdoalah pada-Nya moga amal kita diterima.

3.  Mengambil berat amalan fardu dan melazimi yang sunat
Dalam suatu hadis qudsi Nabi s.a.w bersabda: Allah s.w.t berkata:
“Tidaklah hambaKu mendekatiKu dengan suatu pekerjaan yang lebih Aku sukai daripada dia mengerjakan apa yang Aku telah fardhukan ke atasnya. Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan melakukan yang sunat sehingga Aku cinta kepadanya. Ketika Aku mencintainya, Aku akan menjadi pendengarannya yang ia mendengar dengannya, menjadi penglihatannya yang ia melihat dengannya, menjadi tangannya yang ia bergerak dengannya dan menjadi kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan sesungguhnya, jika ia meminta kepadaKu, niscaya Aku berikan kepadanya; Dan sesungguhnya, jika ia memohon perlindungan kepadaKu niscaya Aku berikan perlindungan kepadanya.” (HR Bukhari no.6142)
Tidak dapat disangkal bahawa setiap perkara yang wajib sama ada dilakukan atau ditinggalkan menjadi tanggungjawab seseorang muslim untuk membumikannya. Amal wajib ini menyebabkan manusia itu dekat kepada Allah kerana berusaha merealisasikan perintah yang diberikan. Namun terkadang amal wajib yang dilakukan ini tidak sempurna kerana sifat kekurangan manusia. Justeru  bagaimana mungkin melengkapkap kewajipan ini?
Amalan sunat. Ia bukan sekadar melengkap perkara wajib yang kita lakukan yang mendorong  manusia dekat kepada-Nya bahkan timbul rasa cinta kepada Allah s.w.t begitu juga sebaliknya seperti yang disebutkan dalam hadis. Oleh kerana itu hakikat darjat sunat itu lebih tinggi kerana manusia boleh melakukan perkara yang ditaklifkan kerana ia berbentuk arahan, tetapi hanya mereka yang cinta kepada-Nya bisa beribadah secara pilihan (sunat).
Seterusnya bila kecintaan manusia kepada Tuhannya berbalas, maka banyak manfaat yang manusia boleh nikmati. Setiap pergerakan dan perbuatannya didasari dengan pertolongan Allah s.w.t hinggakan segala permintaan yang dihajati mudah dikabulkan selain menjadi perisai bagi insan daripada kejahatan sama ada yang datang dari dalam diri manusia atau manusia sekelilingnya.

4.  Ingat pada Allah, Dia akan ingat kepada kita
Daripada Abu al-’Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a.beliau berkata: Aku pernah duduk di belakang Nabi s.a.w pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku:
“Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang telah Allah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang sudah Allah tentukannya untukmu. Pena -pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya).” [HR Tirmidzi no.2785]

Manusia jika mengenang seseorang akan merasai perkara yang dirindui itu seolah-olah hadir bersamanya. Begitu juga insan dengan Allah s.w.t. Jika kita merasai atau mengingati bahawa Allah itu sentiasa bersama kita maka kita tidak berpaling kepada kuasa yang lain. Malangnya, ramai manusia yang meminta kepada manusia tetapi tidak mahu meminta kepada Allah s.w.t. Mereka juga pandai menjaga hubungan baik dengan manusia tetapi memutuskan hubungannya dengan Allah s.w.t.
Apabila perasaan muraqabah (Allah melihat kita) terpahat dalam jiwa insan, kita akan malu untuk bermaksiat bahkan selalu ingin beribadat dek kerana banyaknya kurniaan nikmat Allah terhadap kita. Ia membawa kita untuk menjaga hak-hak Allah baik dalam bentuk suruhan untuk dilaksanakan atau tegahan dari melakukannya.
Demikian, bila hak-hak ini dipelihara, hubungan kita dengan Allah menjadi lebih dekat hinggakan kita merasakan segala yang ditaklifkan bukan sebagai bebanan tetapi jalan menuju kecintaan.  Tambahan lagi, manusia itu akan meletakkan setinggi-tinggi pergantungan hanya pada-Nya dengan meyakini tiada yang dapat menghalang jika Allah berkehendakkan kebaikan kepada manusia dan tiada dapat memberi mudharat jika Allah  menghalang.

5. Saling ingat memperingati
Dari Abu Ruqayyah Tamiim bin Aus Ad Daari r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:
“Agama itu adalah nasihat , Kami bertanya : Untuk Siapa ?, Beliau bersabda : Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan bagi seluruh kaum muslim” [Muslim no. 55]

Sungguh agama Islam itu adalah praktikal untuk semua individu tidak kira pangkat atau martabat. Tetapi hanya mereka yang mempunyai hati yang terbuka yang berlapang dada untuk menerima peringatan. Mereka yang ego akan lemas tenggelam dalam sifat buruknya itu. Justeru itu, kadang-kadang nasihat itu telah diberikan kepada seseorang atau mungkin pada diri kita sendiri tetapi masih gagal untuk dijadikan sebagai agen perubahan kerana tiada penyediaan hati yang total.
Dalam al-Quran Allah s.w.t berfirman:
“dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. “ [al-Asr:3]
Allah menyifatkan mereka yang tidak tergolong dalam kalangan kelompok yang rugi adalah mereka yang sentiasa saling menasihati dalam perkara kebaikan. Hal ini disebabkan apabila seseorang itu memberi sesuatu peringatan ia tidak bererti dia lebih baik daripada orang yang mendengarnya tetapi ia sebagai suatu bentuk penyebaran rasa cinta kepada Allah yang ada pada dirinya ke dalam diri orang lain.
Selain itu, pesanan ke arah kebaikan ini juga penting bukan kepada pendengar semata-mata, malah lebih lagi mereka yang menyampaikannya kerana jika pesanan yang disampaikan itu boleh melaknat dirinya sendiri jika tiada amal yang menginringi. Tidak bermaksud menjauhkan diri daripada menyampaikan peringatan, tetapi berusaha melakukan apa yang telah disampaikan sekaligus menjaga diri kita dari terjerumus dalam maksiat sebenarnya bertepatan dengan kaedah dakwah yang masyhur;
Islah (ubah) diri kita, dan ajak orang lain (kepada kebaikan)

            6.  Bertaqwa pada Allah sentiasa dalam apa jua ketika (istiqamah)
Dari Abu Amr Sufyan bin Abdullah berkata: Wahai Rasulullah shollallohu ‘alaihi wa sallam, katakan kepada aku tentang Islam sebuah perkataan yang  tidak  aku tanyakan kepada seorangpun selainmu. Beliau bersabda: Katakanlah: Aku beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah(istiqamah) [HR Muslim no.38]
Dalam setiap amalan manusia keikhlasan merupakan paksi untuk ianya diterima. Namun istiqamah merupakan kemuncak sesuatu amalan kebaikan kerana ia merangkumi keperluan ikhlas yang berterusan. Ia bukan perkara yang mustahil tetapi bukan juga mudah untuk dibumikan. Bahkan kata ibn Abbas ketika ayat berkenaan istiqamah ini diturunkan beruban rambut baginda s.a. disebabkan beratnya perintah ini.
Berkata Kata Saidina ‘Umar bin al-Khattab: “Istiqamah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan Allah tanpa berubah-ubah seperti musang”
Namun, kemanisan ibadah itu bukan sekadar sempurnya ia dari segi zatnya tetapi berterusan ia dilaksanakan. Sesungguhnya istiqamah dalam ibadah itu dicintai Allah meskipun amalan itu sedikit berbanding amalan yang banyak tetapi hanya pada waktu dan ketika yang tertentu.

Kesimpulan: Tawazun
Dunia ini diciptakan untuk manusia mengambil kesempatan terhadapnya berbentuk ibadah kepada Allah mahupun berbentuk nikmat dan keseronokan. Tetapi dalam menyelusuri perjalanan hidup di atas dunia ini perlu ada neraca dalam diri manusia supaya keseimbangan antara kehidupan dunia dan akhirat itu dapat dijaga dengan baik berlandaskan kehendak Allah s.w.t.

Rujukan:
Al-Wafi Fi Syarahi Arbain Nawawiah, Dr Mustafa Bugha dan Dr Mahyuddin Mistu
Nuzhatul Muttaqin Syarah Riyadus Salihin, Dr Mustafa Bugha , Dr Mahyuddin Mistu dan lain-lain.
Li Syabab Khassah, Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni
Dirasat Hadisiyah Dakwiyah Nafsiyah, Prof Dr Faleh Bin Faleh Al-Shogir
Sahih Muslim Syarah Nawawi jilid 7


No comments:

Post a Comment